LAWATAN PENANDA ARAS KE JABATAN LANDSKAP, MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU (MBJB)
PASIR GUDANG, 19 Oktober 2026 – Delegasi Jawatankuasa SmartGreen PIS dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Jabatan Landskap, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi memperkasakan agenda kelestarian dan persekitaran hijau kampus.
Delegasi rasmi PIS telah diketuai oleh Ts. Rizuan bin Zainal, Wakil Pegawai Smart Green PIS, berserta barisan pensyarah JKE. Ketibaan delegasi PIS telah disambut mesra oleh Pengarah Landskap MBJB, Pn. LAr. Hajah Mustika Ally binti Zulkifli, bersama barisan pegawai jabatan.
Eksplorasi Kerjasama & Pemindahan Kepakaran
Lawatan strategik ini berteraskan usaha meneroka peluang kolaborasi serta pemindahan kepakaran (expertise transfer) dalam aspek pengurusan dan pembangunan landskap. Inisiatif ini dilaksanakan bagi mentransformasikan persekitaran PIS agar lebih kondusif, sekali gus mendokong aspirasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasa pembudayaan kampus mampan (sustainable campus).
Melalui lawatan ini, delegasi PIS berpeluang berkongsi pandangan dan mendapatkan pendedahan mengenai pendekatan pengurusan serta penyelenggaraan landskap oleh pihak MBJB. Perkongsian ini diharap dapat menjadi rujukan dalam usaha menambah baik pengurusan landskap dan persekitaran hijau kampus PIS.
Pihak Politeknik Ibrahim Sultan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pn. LAr. Hajah Mustika Ally binti Zulkifli serta seluruh warga Jabatan Landskap MBJB atas sambutan mesra dan komitmen jitu yang diberikan sepanjang lawatan ini berlangsung.
#PoliteknikIbrahimSultan #JabatanKejuruteraanElektrik #MBJB #LawatanPenandaAras #PemindahanKepakaran #KampusMampan #SmartGreenPIS #JPPKK #KPT










Comments